Sunday, May 31, 2009

LANGKAH MEMPERBAIKI LAPORAN KREDIT


LANGKAH MEMPERBAIKI LAPORAN KREDIT

Semasa anda ingin memohon pinjaman perumahan, bank dan institusi kewangan akan merujuk kepada rekod laporan kredit anda dan membuat penilaian sama ada untuk meluluskan permohonan anda dan juga untuk menilai kadar faedah yang akan dikenakan. Sekiranya anda mempunyai laporan kredit yang kurang memuaskan anda boleh mengambil langkah-langkah tersebut untuk memperbaiki laporan kredit anda:

1. Mula Bina Rekod Yang Baik
Cara yang paling mudah untuk memperbaiki laporan kredit anda adalah dengan membayar hutang-hutang yang tertunggak. Anda boleh menggunakan tunai lebihan anda sendiri. Sekiranya anda tidak berupaya untuk membayar anda boleh menghubungi peminjam dan mendapat bantuan mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman. Anda boleh berunding satu pelan pembayaran balik dengan bayaran ansuran yang lebih rendah.

2. Batalkan dan Gabungkan Hutang-Hutang
Langkah ini seboleh-bolehnya dilakukan beberapa bulan sebelum membeli rumah atau membuat pembiayaan semula. Anda boleh membatalkan kad kredit yang tidak terpakai. Semasa anda membatalkan kad kredit pastikan kad kredit anda betul-betul telah dibatalkan dan ianya tidak ada baki yang tinggal.Hadkan kad kredit anda kepada 2 atau 3 kad kredit. Sekiranya anda ada beberapa pinjaman peribadi cuba gabungkan hutang-hutang tersebut kepada satu atau dua akaun sahaja.

3. Pilih Masa Yang Baik
Semasa anda memohon pinjaman perumahan pastikan bahawa tunggakkan pinjaman sedia ada anda tidak melebihi sebulan. Seboleh-bolehnya pastikan anda mempunyai rekod pembayaran yang baik sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum memohon pinjaman perumahan. Sekiranya anda ingin memohon beberapa jenis pinjaman pada masa yang sama, seboleh-bolehnya buat permohonan satu per satu. Buat permohonan pinjaman kedua selepas berjaya memohon pinjaman pertama dan sebagainya.

4. Elak Daripada Menjadi Seorang penjamin
Elak daripada menjadi seorang penjamin. Sekiranya pihak peminjam tidak membayar hutang mereka anda terpaksa menanggung hutang tersebut dan ini akan menjejaskan laporan kredit anda. Kebanyakan penjamin terpaksa berada dalam senarai blacklist kerana tidak ingin membayar hutang orang lain. Anda juga perlu berhati-hati dalam kes kad kredit. Hutang pemegang kad kredit supplementary perlu ditangggung oleh principal.

5. Berbelanja Mengikut Kemampuan dan Jangan Lewat Bayar
Untuk memiliki laporan kredit yang cantik dalam jangka panjang, anda perlu berdisiplin. Belanja mengikut kemampuan dan juga membayar hutang mengikut masa. Selepas dapat gaji, pastikan anda membuat pembayaran hutang dahulu sebum menggunakan baki yang tertinggal untuk perkara lain. Ramai di Malaysia kurang berdisiplin dan ini menyebabkan hutang mereka bertimbun-timbun. Sebagai contoh: ramai pemegang kad kredit di Malaysia mempunyai baki kad kredit yang tinggi disebabkan penggunaaan kad kredit yang tidak terkawal serta faedah yang bertimbun daripada baki yang tidak terbayar.

No comments:

Post a Comment